Ada orang pernah bertanya berkenaan perkara ini kepada seorang ulama terkenal iaitu Imam Malik. Orang itu bertanya kepada Imam Malik, "Bagaimanakah cara Allah bersemayam di atas Arasy?" Imam Malik menjawab, "Bersemayam itu sudah kita ketahui maknanya, tetapi cara Allah bersemayam tidak dapat kita pastikan. Kita wajib percaya dan yakin Allah bersemayam di atas arasy, tetapi bertanya bagaimana Allah bersemayam adalah perbuatan yang tidak ada dalam agama."
Jawapan Pertama : Allah tidak sama dengan sesiapa
Sebelum dijelaskan Allah di mana, ingatkan diri kita Allah tidak sama dengan semua ciptaannya yang ada di langit dan di bumi. Allah ada, tetapi ada Allah tidak seperti adanya kita dan makhluk-makhluk lain.
Apabila teman kita berada di dalam sebuah kelas, kita dapat melihatnya dan dapat berbual-bual pula dengannya. Apabila ada ramai teman kita di dalam kelas itu, ruang di dalamnya penuh. Malah mungkin melimpah keluar kerana kelas itu tidak mampu menampung jumlah teman-teman kita.
Manusia dan makhluk lain memerlukan ruang dan jisim. Apabila tidak ada jasad, kita tidak wujud di dunia. Ataupun, tidak mungkin kita katakan kita ada, tetapi tidak ada tempat. Malah, udara yang kita tidak dapat lihat itupun ada jisim dan ia juga memerlukan ruang. Ada ruang yang berudara, ada juga ruang yang tidak ada udara.
Allah ada, tetapi ada Allah tidak sama dengan makhluk ciptaannya yang memerlukan jasad, tempat, ruang dan masa. Allah menegaskan dalam surah al-Ikhlas ayat 4, tidak ada seorang pun yang setara dengannya. Allah tidak sama dengan apa pun. Allah maha suci daripada apa sahaja ke-kurangan.
Kita mendengar dengan telinga. Bunyi yang sampai kepada kita memerlukan medium. Walaupun telinga kita masih dapat berfungsi dengan elok, bunyi tidak sampai kepada kita apabila berada dalam keadaan vakum. Allah mencipta telinga dan bunyi supaya kita dapat mendengar.
Allah juga mendengar, sebagaimana yang Allah jelaskan di dalam al-Quran surah al-Baqarah, ayat 137, "Dan dia maha men-dengar dan maha mengetahui." Namun begitu, Allah mendengar bukan seperti kita dan makhluk lain mendengar. Allah tidak memerlukan alat dan medium seperti kita.
Semua maklumat yang kita terima di dunia sekarang ini adalah maklumat yang diproses oleh pancaindera kita. Benda yang kita kenali bergantung sepenuhnya kepada apa yang mata kita lihat, apa yang kulit kita sentuh, apa yang hidung kita hidu, apa yang lidah kita rasa dan apa yang telinga kita dengar.
Bagi orang yang matanya terang, dia nampak pokok di hadapannya dengan terang. Bagi orang rabun, dia nampak pokok di hadapannya berbalam-balam, bagaikan tidak berdaun. Kita boleh lihat bentuk otak kita dalam gambar-gambar, tetapi kita tidak dapat melihat cara otak kita berfikir. Kita tahu di mana letaknya hati dan jantung, tetapi kita tidak tahu di mana proses 'rasa sedih' itu berlaku dalam diri kita.
Allah tidak sama dengan kita. Kita tidak mampu fikirkan bagaimana Allah ada, bagaimana Allah melihat dan bagaimana Allah mendengar. Kita tidak mampu fikirkan di mana Allah. Allah bukan seperti benda lain yang dapat kita capai dengan pancaindera kita. Apabila Allah tidak beritahu di dalam al-Quran, kita tidak tahu di manakah Allah.
Di Jalan Cinta Para Pejuang
10 years ago
0 comments:
Post a Comment